Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang oleh ADUN Semambu Lee Chean Chung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang

Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang oleh ADUN Semambu Lee Chean Chung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang

MUQUADDIMAH

Terima kasih Dato Seri’ Yang Di-Pertua.

1. Saya menyokong penuh saranan Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang dalam Ucapan Titah Diraja yang mencadangkan supaya semua projek pembangunan bukan sahaja harus membawa impak positif kepada ekonomi negeri, tetapi juga harus mengambilkira kepentingan pemuliharaan alam sekitar dan generasi akan datang.

PEMBANGUNAN KALAH-KALAH
2. Dato Seri Yang Di-Pertua, Kerajaan Pahang harus memandang serius terhadap saranan ini. Saranan Pemangku Raja Pahang membawa maksud bahawa Kerajaan Pahang harus memastikan bahawa semua pembangunan di dalam negeri Pahang adalah “pembangunan menang-menang”, dengan izin “win-win development” yang membawa kepada pembangunan ekonomi dan di samping menjaga kelestarian alam sekitar.

3. Kerajaan harus bijak dalam merancang pembangunan kerana adalah tidak berbaloi sekiranya sesuatu pembangunan yang dilaksanakan itu hanya mendatangkan pembangunan ekonomi tetapi merosakkan alam sekitar. Apa yang lagi teruk adalah, Kerajaan Pahang kelihatan pernah melaksanakan projek “pembangunan kalah-kalah”, dengan izin, “lose-lose development” yang telah merosakkan alam sekitar, tetapi gagal membawa pembangunan ekonomi kepada Negeri Pahang.

4. Kita harus ingat apa yang berlaku ketika pelombongan bauksit giat dijalankan di Negeri Pahang di mana berjuta-juta ton tanah bauksit telah dieksport ke luar negeri tetapi Kerajaan Pahang gagal memperoleh hasil cukai yang setimpal melalui eksport bauksit. Di samping kerosakan alam sekitar akibat daripada pengubahan landskap di tapak bauksit, rakyat Pahang yang hidup di kawasan berhampiran laluan lori bauksit terpaksa sengsara akibat daripada pencemaran habuk dan debu. Apa yang paling teruk adalah selepas moratorium bermula, agensi kerajaan seperti Pegawai Bomba yang dibiayai oleh cukai rakyat diarahkan untuk membantu mencuci jalan yang dicemari. Bak kata pepatah cina, dengan izin, “赔了夫人又折兵”, yang membawa maksud “ingat mendatangkan untung tetapi pada akhirnya merugikan diri-sendiri” adalah amat sesuai untuk menggambarkan pelombongan bauksit di Negeri Pahang.

5. Dalam kes penjualan Kuantan Parade kepada syarikat Singapura pula, kerajaan Pahang kelihatan telah menjual satu kompleks membeli-belah yang berpotensi mendatangkan hasil kepada anak syarikat Kerajaan Pahang kepada syarikat asing. Mengapa melepaskan ayam yang mampu mengeluarkan telur emas kepada syarikat swasta? Saya bersetuju dengan pandangan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang dalam sidang DUN lepas iaitu – kita sepatutnya menyelamatkan Kuantan Parade! Kuantan Parade adalah milik anak Pahang! Tetapi atas perkara yang kita semua tahu tapi tidak dapat dielakkan, Kuantan Parade, bersama dengan East Coast Mall, akhirnya telah menjadi milikan Singapura.

PENCEMARAN TASIK CHINI & ISU ORANG ASAL
6. Dato Seri Yang Di-Pertua, saya memberi sokongan penuh saranan dalam Titah Diraja yang menekankan bahawa kawasan-kawasan berisiko tinggi seperti tanah tinggi, punca air dan seumpamanya mesti diambil kira dalam melaksanakan setiap rancangan pembangunan. Namun, saya merasa amat sedih kerana keadaan yang bertentangan telah berlaku di kawasan Tasik Chini yang teletak di dalam kawasan YAB Perdana Menteri Malaysia – Parlimen Pekan. Tasik Chini yang merupakan Warisan Negara & Rizab Biosfera UNESCO kini telah kehilangan daya tarikan pelancong dan malah menghadapi krisis yang besar.

7. Saya dimaklumkan bahawa terdapat beberapa orang wakil masyarakat Orang Asli yang peka tentang keselamatan tasik Chini telah hadir bersama dalam dewan yang mulia pada hari ini dan saya ingin mengalu-alukan kehadiran mereka yang peka terhadap isu pencemaran Tasik Chini.

8. Saya telah membuat lawatan ke Tasik Chini pada bulan lepas dan sedangkan lawatan saya dibuat pada waktu cuti sekolah, tiada seorang pun pelancong yang ditemui pada hari berkenaan. Izinkan saya membangkitkan beberapa isu yang kini dihadapi di Tasik Chini di dalam dewan yang mulia ini.

9. Isu yang pertama adalah isu kualiti air Tasik Chini – Air Tasik Chini kelihatan keruh Saya dimaklumkan oleh penduduk setempat bahawa satu empangan dengan ketinggian 2meter telah dibina di Tasik Chini pada tahun 1995 dan seperti yang dilaporkan dalam hasil kajian UKM “Seasonal Influence on Water Quality and Heavy Metals Concentration in Tasik Chini”, empangan itu mengubah Tasik Chini daripada dengan izin, Lotic System kepada Lentic System. Ini bermakna air di dalam Tasik Chini yang pada asalnya akan mengalir keluar dan masuk ke dalam Sungai Pahang pada Musim Monsoon kini telah bertukar menjadi sebuah tasik bertakung yang air tidak mengalir. Ini telah mengubah sistem ekologi di Tasik Chini dan mengakibatkan pencemaran air Tasik Chini.

10. Dato Seri Yang Dipertua, keadaan yang berkenaan telah menjadi lebih teruk dengan aktiviti pelombongan bijih besi dan pembalakan di kawasan hutan berhampiran yang telah mengakibatkan kandungan nutrien dan logam berat di dalam Tasik Chini makin meningkat. Implikasi daripada keadaan ini adalah seperti berikut:
a. Ekosistem Tasik Chini telah berubah dan mengakibatkan tumbuhan teratai sukar bertumbuh dan kini diganti oleh sejenis tumbuhan yang bernama ekor kuching. Selain itu, kekayaan mineral di Tasik Chini sesuai untuk pembiakan tumbuh-tumbuhan dan ini telah mengakibatkan tasik berkenaan kekurangan oksigen dan mengakibatkan kematian ikan.

b. Merujuk kepada buku “Death of the Dragon God Lake – Voices from Tasik Chini, Malaysia”, Tasik Chini terkenal dengan pelbagai spesies ikan dan burung di mana 30 spesies ikan, 98 spesies burung, 22 spesies mamalia, 3 spesies amphibia dan 12 jenis reptilia yang dulu dapat ditemui di Tasik Chini ini sukar ditemui akibat daripada pencemaran di Tasik Chini. Daripada haiwan berkenaan, 6 jenis burung, 2 jenis mamalia dan tiga jenis reptilia merupakan haiwan jenis pupus yang sukar ditemui.

c. Gangguan kehidupan komuniti Orang Asli di kawasan berhampiran. Terdapat enam kampung orang asli Jakun – Kampung Gumum, Ulu Gumum, Tanking Puput, Chenahan, Melai dan Ulu Melai di kawasan berhampiran Tasik Chini. Air Tasik Chini yang dulu menjadi sumber air mereka kini sudah tidak boleh digunakan sebagai air minuman. Di samping kekurangan sumber hasil ikan yang diakibatkan oleh pencemaran Tasik Chini, pembalakan dan pelombongan secara besar-besaran di kawasan berhampiran telah menceroboh tanah adat orang asli. Orang Asli telah kehilangan tempat mengutip hasil perhutanan dan tempat menjalani pemburuan. Keadaan ini turut mengganggu cara kehidupan Warga Jakun yang amat bergantung kepada sumber hutan. Mengapakah kepentingan pelombong diutamakan tetapi suara orang asal yang sudah menduduki situ sejak turun-temurun diketepikan?
11. Dato Seri Yang Di-Pertua, sedangkan isu ini sering dibangkitkan oleh NGO-NGO dan pakar yang menjalani kajian terhadap alam sekitar, namun Kerajaan Pahang kelihatan tidak proaktif dalam menyelesaikan isu ini. Saya berharap agar Kerajaan Pahang mengambil inisiatif sejajar dengan Titah Diraja Duli Yang Mulia Pemangku Raja Pahang dan menyelesaikan isu pencemaran Tasik Chini dan mendengar rintihan warga Orang Asli dari Chini.

PENYELARASAN PENDAPATAN GARIS KEMISKINAN
12. Dalam Ucapan Titah Diraja, satu lagi isu yang dibangkitkan adalah tekanan sara hidup rakyat Pahang yang semakin meningkat. Berikutan dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak 6%, kehidupan rakyat biasa makin terhimpit. Janji perdana menteri Malaysia bahawa harga barang akan turun selepas pelaksanaan GST sehingga kini masih belum tertunai.

13. Sedangkan Gaji Minima Malaysia telah ditetapkan sebanyak RM1,000, kebanyakan agensi Kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat masih menjadikan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) RM950 sebagai panduan untuk meluluskan permohonan kebajikan rakyat. Dato Seri’ Yang Di Pertua, dengan keadaan inflasi sekarang, saya berpendapat bahawa PGK RM950 adalah kurang sesuai kerana sesebuah keluarga memang sukar untuk menyara hidup sedangkan dengan pendapatan yang lebih tinggi. Saya mencadangkan Kerajaan Pahang supaya mengambil pengalaman Kerajaan Selangor yang telah membuat penyelarasan PGK kepada RM1,500. Kalau rasa RM1,500 terlalu tinggi pun, selaraskan kepada RM1,200 supaya keluarga-keluarga golongan berpendapatan rendah ini dapat menerima bantuan yang sewajarnya.

KADAR PREMIUM TERLAMPAU TINGGI DI RTP BUKIT GOH
14. Saya turut ingin menyuarakan satu isu bagi Peneroka-peneroka di Felda RTP Bukit Goh. Untuk makluman dewan yang mulia ini, peneroka Fasa kedua dan Fasa ketiga sehingga kini masih gagal mendapat geran tanah kerana ketidakmampuan untuk membayar premium geran tanah yang mencecah RM20 ribu bagi setiap lot tanah rumah. Berbanding dengan Fasa Pertama yang diberi geran secara percuma, peneroka-peneroka Fasa Kedua dan Ketiga dikenarkan kadar premium yang tinggi. Mengapakah keadaan ini berlaku? Saya memohon agar pihak Kerajaan Negeri Pahang memberi geran tanah secara percuma kepada peneroka RTP Bukit Goh fasa kedua dan ketiga sejajar dengan semangat KEADILAN dan penghargaan kepada mereka yang berjasa untuk meneroka hutan dan membuka ladang.

PENUTUP
15. Dato Seri Yang Di Pertua, pembangunan negeri seharus sejajar dengan beberapa aspek seperti keberkesanan, dengan izin efficiency agensi-agensi kerajaan dan kerajaan tempatan. Dalam sidang dewan yang lepas, saya pernah membangkitkan beberapa isu seperti kerosakan Jalan di Haji Ahmad (Nombor aduan MPK 00598/2016) namun sehingga kini masih belum kelihatan sebarang kerja-kerja baik pulih. Saya difahamkan ini melibatkan isu peruntukan dan isu tender dan lain-lain, namun rakyat sedang menilai keberkesanan agensi kerajaan, khususnya kerajaan tempatan dalam menyelesaikan isu rakyat.

16. Sedangkan musim tengkujuh belum bermula, pihak berkenaan seharusnya mengambil inisiatif sekarang dan memastikan longkang-longkang tersumbat dan mencari jalan penyelesaian bai tempat-tempat yang kerap berlaku banjir kilat seperti Lorong Shahzan IM 10 dan 15, Jalan Alor Akar, Lorong Semambu Baru 68 dan Lorong Bukit Setongkol 103 yang telah beberapa kali saya bangkitkan di dewan ini.

17. Akhir sekali, saya berharap agar isu-isu pencemaran dan pentadbiran negeri yang saya bangkitkan di atas dipandang serius oleh kerajaan dan diselesaikan dengan segera.